Halaman

Khasiat Buah Kiwi



Setiap hari dua hidangan buah kiwi, jadikan ia aturan baru dalam diet  harian anda untuk kesihatan menyeluruh. Buah kiwi mempunyai banyak  manfaat kesihatan. Ia kaya dengan nutrien yang membantu mencegah  penyakit, memberi tenaga selain merupakan pilihan diet harian yang  mudah.

Menurut fakta, buah kiwi mengandungi dua kali ganda jumlah vitamin C berbanding oren (108.9 miligram vitamin C dalam setiap 100 gram buah kiwi), dua kali ganda vitamin  E berbanding avokado dan hanya separuh kalori berbanding yang lain. Ia  sesuai untuk mereka yang mementingkan kesihatan dan pesakit diabetis  kerana mengandungi indeks glisemik (GI) yang rendah dan mengandungi  kandungan fiber yang sama tinggi dengan hidangan emping bijirin.

"Bagi sesetengah pengguna, nilai nutrisi mempengaruhi mereka untuk membeli sesuatu. Fakta mengenai kebaikan  buah kiwi sudah lama diketahui dan tidak hairanlah ia kini digemari  oleh mereka yang mementingkan kesihatan menyeluruh," kata Pengurus  Pemasaran Zespri International, Daniel Mathieson.

Menurutnya,  buah kiwi sesuai dimakan mentah, dimasukkan dalam masakan dan boleh  juga dimakan bersama kulitnya. Secara purata, buah kiwi menyediakan  kandungan cadangan harian (RDV) vitamin C dan juga bahan lain seperti folat, potasium dan zink yang mana sangat penting untuk mengekalkan kesihatan menyeluruh.

Tambahnya  lagi, ketakutan warga seluruh dunia mengenai penyebaran wabak influenza  H1N1 juga menyebabkan mereka lebih berhati-hati dengan pengambilan  makanan.

"Kini kebanyakan orang mula bertukar kepada makanan atau buah-buahan yang kaya dengan bahan imunisasi seperti buah kiwi," kata Mathiesen.

Sementara  itu, Pakar Terapi Nutrisi, Dr Norzita Mohd Yusof berkata, buah kiwi  merupakan pilihan diet yang mudah dan amat sesuai bagi kanak-kanak serta  orang dewasa.

"Anda hanya memerlukan sebiji kiwi segar, potong kepada dua bahagian dan gunakan sudu untuk mencedok isinya," katanya.

Menurutnya  lagi, buah kiwi amat sesuai dijadikan amalan diet harian sejak dari  usia kanak-kanak lagi memandangkan mereka kini sangat terdedah kepada  makanan berproses.

"Untuk kanak-kanak, sebiji buah kiwi sudah  memadai untuk membantu mereka melawan penyakit biasa seperti selesema,  demam dan sembelit. Bayi berusia satu tahun ke atas juga boleh diberi  buah kiwi yang dijadikan puri atau dilenyek halus," ujarnya.

Dengan  pengambilan buah kiwi setiap hari katanya, kita tidak perlu lagi  bergantung kepada suplemen tambahan berbentuk pil atau minuman kerana  buah kiwi mengandungi semua jenis khasiat yang diperlukan oleh badan.

Tiada ulasan: