Teringat saya sewaktu di Sarawak dulu... sejak
empat tahun yang lalu, menyaksikan kemeriahan perayaan Hari Gawai
bukanlah sesuatu yang asing lagi untuk saya, juga rakan-rakan dari
Semenanjung yang lainnya. Hari Gawai merupakan "Perayaan Menuai" yang
disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak (juga masyarakat Kadazandusun
di Sabah) sejurus selepas selesainya Kaamatan. Hari Gawai disambut
dengan pelbagai aktiviti seperti perarakan dan adat yang
berwarna-warni.
Jika dahulu, sambutan Hari Gawai mungkin hanya diraikan oleh masyarakat
Kadazandusun, Dayak, Murut, Iban dan Bidayuh selain hanya terkenal di
Malaysia Timur sahaja, sejak kerajaan memperkasakan konsep perpaduan
dan integrasi antara wilayah, sambutan Hari Gawai turut popular di
Malaysia Barat. Bukan lagi suatu kejanggalan dalam kalangan rakyat
Malaysia di kawasan Semenanjung untuk memahami dan mengenali apakah itu
perayaan Hari Gawai. Malah, di Sabah dan Sarawak, perayaan ini sudah
melepasi sempadan agama dan etnik apabila ia turut diraikan oleh etnik
yang beragama islam. Jadi tidak hairanlah apabila dalam sambutan
perayaan terbabit semalam, pihak penganjur tidak ketinggalan
menyediakan juadah yang halal untuk dinikmati oleh masyarakat beragama
islam.
Senario seumpama ini merupakan suatu perkembangan yang positif dalam
mengukur tahap perpaduan sejagat rakyat Malaysia, Sekurang-kurangnya
dengan adanya integrasi dan komunikasi di antara pelbagai etnik yang
sama-sama meriahkan pelbagai sambutan perayaan di negara ini, ia akan
dapat mengeratkan silaturrahim, memupuk kesefahaman, rasa
hormat-menghormati dan selain berupaya memelihara warisan dan budaya
masyarakat Malaysia yang variasi agar tak alpuk dek hujan, tak lekang
dek panas.
Usaha kerajaan yang agresif dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan
sesuatu sambutan perayaan dan kebesaran itu sebagai milik semua rakyat
Malaysia jelas membuktikan betapa kerajaan pada hari ini sangat komited
dalam menjana keakraban dan memperkukuhkan perpaduan sedia ada melalui
perkongsian nilai-nilai murni dan kepercayaan yang berbeza-beza agar
perselisihan faham dapat diatasi dan perbezaan antara etnik dan agama
menjadi sesuatu yang bersifat 'manis' di negara ini.
Apa yang pasti, sambutan yang berlangsung saban hari dan saban malam
selama sebulan, bermula daripada semalam ternyata mengundang suatu
persepsi yang amat menyenangkan - suatu gambaran sebenar mengenai
"perpaduan yang dibentuk melalui kepelbagaian" dalam kalangan
masyarakat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak, dua buah negeri
yang mempunyai etnik paling variasi. Justeru, rakyat Malaysia
diharapkan agar bertanggungjawab dan menghargai perpaduan yang tidak
terbina dalam tempoh sehari ini dan bersama-sama mempertahankan
kemakmuran Malaysia yang kita cintai...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan