Halaman

Punca Anak Derhaka Kepada Ibu Bapa



Ada sesetengah pihak mengatakan untuk mendisiplinkan remaja, ibu bapa  perlu bersifat garang terhadap anak. Itulah cara yang digunakan oleh ibu  bapa mereka ketika mereka kecil dulu dan dengan cara berkenaanlah semua  anak berjaya dalam hidup. 

Pendekatan lembut dan garang adalah pendekatan yang ekstrem di  mana lembut adalah keterlaluan positif manakala garang adalah  keterlaluan negatif. Lembut menyebabkan perasaan kita merana kerana  ingin menjaga perasaan anak remaja.

Sebaliknya garang menyebabkan perasaan kita terjaga, manakala si anak  mungkin memendam dendam dalam hati. Keseimbangan di antara kedua-dua  garis hujung berkenaan adalah pendekatan tegas. Ketegasan membuatkan  perasaan kedua-dua belah pihak terjaga. 
 
Kajian pakar menunjukkan bahawa apabila ibu bapa selalu  melakukan kekasaran terhadap remaja biasanya mereka akan memberontak.  Perbuatan seperti mencubit, merotan, memukul dengan objek, boleh  dikategorikan sebagai pendidikan dengan cara yang keras. Hampir tiada  unsur pendidikan langsung dengan cara kekerasan berkenaan jika tidak  dilakukan dengan cara yang berhikmah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maafkan mereka, minta keampunan bagi  mereka dan bermusyawarahlah dalam urusan...” (Surah Ali-Imran, ayat  159). 

Ada dua kemungkinan yang akan berlaku apabila remaja diperlakukan  dengan keras iaitu melantun atau menyerap. Kemungkinan pertama dia akan  melawan kembali kekerasan, akibatnya beliau akan membesar menjadi  seorang yang suka memberontak dan keras jiwa. 

Kemungkinan kedua pula, beliau akan bersabar dengan kekerasan dan  memendam dalam jiwa. Akibatnya beliau membesar menjadi seorang yang  pemurung dan lemah jiwa. Kedua-duanya akan memberi hasil yang buruk.       

Tunjuk cara efektif

Islam  mengajar dan menunjukkan cara yang efektif dengan menyuruh  setiap yang menjadi tonggak utama seperti ibu bapa supaya  berlemah-lembut, belas kasihan sehingga anak mereka membesar di jalan  yang lurus, terdidik dengan semangat berani berterus-terang dan bebas  diri.

Banyak petunjuk diberikan Islam mengenai berlemah-lembut, berkata  baik dan berbudi bahasa antara satu sama lain dalam al-Quran dan sunnah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh  menjalankan keadilan, berbuat baik dan memberi kepada kaum kerabat.”  (Surah An-nahl, ayat 90) 

FirmanNya lagi bermaksud: “Dan orang yang menahan marahnya, dan  orang yang suka memaafkan orang lain, dan Allah sangat suka kepada orang  yang berbuat baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Kesihatan jiwa  

Ibu bapa perlu mengambil contoh daripada pengajaran berkenaan dan  mengamalkannya andai kata mereka benar-benar mahukan kesihatan jiwa anak  terpelihara. Kesihatan jiwa adalah salah satu penentu kebahagiaan anak.

Jika ibu bapa sendiri selalu berkeras, maka ibu bapalah yang  melakukan kezaliman ke atas anak. Mereka akan mendapati bahawa mereka  sudah menanam benih-benih kerosakan ke dalam jiwa anak.

Dalam sebuah kisah, datang seseorang kepada Umar bin Al-Khattab  mengadu penderhakaan anaknya. Maka Umar pun memanggil anak orang itu,  lalu memarahinya. Maka berkata si anak: “Wahai Amirul Mukminin! Tidakkah  ada hak anak ke atas ayahnya? Umar menjawab: Bahkan ada.

Berkata anak itu: “Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Umar menjawab:  Hendaklah ia memilih ibunya (daripada keturunan yang baik), dan memberi  nama yang baik, dan mengajar membaca al-Quran.

Lalu si anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya  ayah saya tidak melakukan suatu pun daripada perkara itu. Ibu saya  adalah seorang  zanjuyah (bekas hamba hitam), dulu isteri kepada seorang  Majusi dan dia juga  menamakan saya Jo’ul (lipas), dan dia belum  mengajar saya satu huruf pun daripada al-Quran.”

Mendengar kata-kata si anak itu, maka Umar pun berkata kepada si  ayah: “Engkau datang mengadu penderhakaan anakmu. Sebenarnya engkau  telah menderhakainya sebelum dia menderhakaimu, dan engkau telah  merosakkannya sebelum dia merosakkanmu.” 

Demikianlah Umar Al-Khattab meletakkan sebab penderhakaan si anak  tadi ke atas bahu ayahnya, kerana dia melalaikan pendidikannya. Marilah  kita cermin diri kita dan meneliti sama ada penderhakaan atau masalah  ditimbulkan anak sebenarnya mungkin berpunca daripada kita,

Tiada ulasan: